Khamis, 2 April 2020

DOA WALIMATUL URUS


DOA MAJLIS NIKAH

TA’AWUZ & BASMALAH
HAMDAN & SELAWAT

Segala puji hanya untuk-Mu ya Allah yang telah menjadikan kami berpasang-pasangan. Selawat dan salam di atas junjungan kami Saiyidina Muhammad saw rahmat sekelian alam serta keluarga dan sahabat-sahabatnya sekalian. Ya Allah, pada hari yang berkat ini, kami berhimpun di sini sebagai tanda kesyukuran kami atas nikmat-Mu bersempena dengan majlis perkahwinan yang diadakan oleh keluarga pasangan-pasangan mempelai dengan selamat dan sempurna bagi pernikahan mereka.

Ya Allah Ya Tuhan Kami Yang Maha Sempurna, rahmatilah majlis ini semoga ianya berjalan dengan sempurna seperti mana yang telah Engkau kehendaki dan berkatilah majlis yang diadakan ini dengan keberkatan dari permulaan hingga ke akhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu. Ya Allah Ya Tuhan kami Yang Amat Mengasihani, limpahkanlah rahmat dan keampunanMu kepada pasangan-pasangan pengantin ini. Kurniakanlah kepada mereka ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaan dan cubaan hidup berumahtangga lebih-lebih lagi di akhir zaman yang penuh pancaroba ini. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina ini dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dengan penuh keberkatan. Amiin Ya Rabbal A’lamin.

Ya Allah kurniakanlah restu dan kasih sayang di antara pengantin-pengantn ini serta eratkan hubungan mereka sepertimana telah Engkau hubungkan di antara air & tanah, Adam & Hawa, Ibrahim & Siti Hajar, dan seperti Baginda Muhammad s.a.w & Siti Khadijah serta para isteri-isteri baginda s.a.w. Ya Allah, satukanlah mereka dalam inayah dan barakahMu. Semoga menjadi Nur ibadah yang mendambakan rahmatMu.

Segala puji-pujian adalah milik mu ya Allah. Kami memujiMu, memohon pertolongan dan keampunan kepadaMu Ya Allah. Kami berlindung kepada Mu Allah daripada segala kesalahan dan keterlanjuran kami. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah semata-mata yang tiada sekutu bagiNya dan kami bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah hamba dan rasulNya. Bersempena dengan majlis walimatul urus ini, kami memohon inayah dan rahmatMu. Ya Allah, agar dikurniakan kepada pengantin-pengantin yang diraikan pada hari ini, kesejahteraan, kebahagiaan, ketenangan dan zuriat yang beriman lagi bertaqwa iaitu :

1.     PENGANTIN LELAKI :_________________________
&
2.     PENGANTIN PEREMPUAN :_________________________

Ya Allah Ya Tuhan Kami, Sesungguhnya kami menyedari bahawa Engkau telah menjadikan semua makhluk ciptaanMu berpasangan. Benarlah firmanMU, Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari Yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, atau pun dari apa Yang mereka tidak mengetahuinya.

Ya Rahman Ya Rahim, Anugerahkanlah keberkatan dan kerahmatan kepada pasangan-pasangan mempelai pada hari ini kerana mereka telah menunaikan salah satu daripada sunnah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Mantapkanlah iman, ikatan kasih sayang dan perasaan hormat-menghormati sesama mereka. Perkasakan akhlak dan budi bahasa mereka. Anugerahkanlah kepada pasangan-pasangan pengantin yang diraikan hari ini keintiman, kecenderungan dan perasaan tenteram sentiasa. Jalinkahlah perhubungan mereka dengan ikatan kasih sayang, persefahaman, kebahagiaan dan belas ihsan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, Sesungguhnya pasangan-pasangan yang diraikan dalam walimatul’urus ini telah menunaikan salah satu suruhan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Anugerahkanlah zuriat yang berkualiti dan warisan anak-pinak yang banyak kepada mereka.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, Sesungguhnya kami sedar betapa hebatnya hikmah orang yang bernikah berbanding mereka yang hidup bujang dan betapa Islam memuliakan mereka yang memilih jalan pernikahan daripada mereka yang masih terdedah dengan pintu-pintu kemaksiatan. Dengan hanya satu lafaz agung, yang haram menjadi halal, yang maksiat menjadi ibadah, yang keji menjadi suci terpuji.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, Kami sedar bahawa engkau telah menyediakan jalan yang paling mudah untuk menghalalkan cinta pasangan-pasangan anak Adam ini. Bahagiakanlah pasangan-pasangan ini dengan penuh keberkatan. Engkau semaikanlah putik dan bunga-bunga kasih yang mekar dalam mahligai pasangan-pasangan ini. Jadikanlah pasangan-pasangan ini yang berkongsi kasih, kehidupan dan segalanya. Engkau tegakkanlah pintu ketenteraman dan kedamaian dalam kehidupan pasangan-pasangan ini biar apapun badai yang melanda. Ya Allah, engkau anugerahkanlah pepohon cinta yang berpanjangan dan hubungan yang berkekalan dan semaikanlah bibit cinta mereka keranaMu ya Allah. Kami merakamkan ucapan Barakallahulakum Wa Baraka’Alaikum Wa Jama’a Bainakuma Fil Khair (Mudah-mudahan Allah melimpahkan barakah kepada pasangan yang diraikan perkahwinan mereka hari ini dan semoga Allah melimpahkan kebahagiaan ke atas mereka dan mempertemukan mereka dalam kebaikan.