Ahad, 13 Oktober 2024

DOA SUKAN

 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

الْـحَمْدُ للهِ الذِيْ بِنِعْمَتِهِ تَتِمّ ُالصَّالِـحَاتُ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُـحُمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

 

Segala kepujian dan kesyukuran dipersembahkan ke hadhrat-Mu ya Allah di atas limpah rahmah perlindungan kepada kami sekalian dengan aman tenteram, sihat wal’afiat dan selamat sejahtera. Kami memohon kepada-Mu ya Allah semoga diperkukuhkan perpaduan, dipereratkan persaudaraan dan diperkuatkan keazaman, hasrat dan cita-cita agar sentiasa mendapat keredhaan-Mu ya Allah.

 

اللَّهُمَّ يَا رَحْمَنُ يَا رَحِيمُ

 

Ya Allah sempena majlis yang kami adakan pada hari ini. Kami memohon petunjuk-Mu serta dipermudahkan segala urusan. Bimbinglah kami ke arah kebenaran, jauhkanlah kami daripada kemaksiatan, agar kami sentiasa berada dalam keredhaan dan dipelihara daripada kemurkaan-Mu.

 

Kurniakankah kami kesihatan yang baik yang berpanjangan, cergaskanlah minda kami, kuatkanlah tubuh badan kami, petahkanlah lidah kami dengan kalimah-kalimah yang engkau redhai, jauhkanlah kami dari penyakit berjangkit dan berbahaya serta sejahterakanlah rohani kami.


Kami juga memohon kasih sayang-Mu ya Allah agar jiwa dan kehidupan kami berada dalam aman di dunia agar kami dapat mengimarahkan bumi sepertimana yang Engkau perintahkan, maka daripada Engkaulah sahaja ya Allah kami memohon bantuan dan pertolongan.

 

اللَّهُمَّ يَا مَالِك الْمُلْكِ

 

Kami dengan segala rendah diri memohon agar Engkau kurniakan kami dan hamba-hamba-Mu sekalian dengan taufik dan hidayah, sentiasa di bawah pimpinan dan petunjuk-Mu ya Allah, mudah-mudahan segala usaha dan amal yang kami tunaikan akan mendapat sepenuh kejayaan dalam keredhaan dan restu-Mu di sepanjang zaman.

 

يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

 

Berkatilah negara Malaysia ini, bimbinglah raja-raja dan pemimpin-pemimpin kami dalam mengemudi bahtera Negara yang tercinta ini. Rahmatilah Negara ini di bawah perlindungan-Mu, sekalian yang bersangkutan dengannya semoga mendapat pertunjuk dari-Mu ke jalan yang Engkau redhai serta dengan penuh kehormatan dan kesucian, disamping meninggikan syiar-Mu dalam semua bidang. 

  

يَا أَكْرَمَ الْأَكْرَمِينَ

 

Peliharakanlah kami dan negara kami daripada segala bala bencana. Jauhkanlah kami sekalian daripada segala ancaman dan pengkhianatan. Bersihkanlah negara kami dari segala anasir jahat.

 

Pandulah kami semua ke jalan yang benar, adil dan saksama dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kekalkanlah ya Allah kebenaran, keadilan, perpaduan, ketenteraman dan kemakmuran dalam negara bertuah ini.